Event Detail

KPJ BANDAR MAHARANI SPECIALIST RAI PELAJAR MADRASAH TAHFIZ AL IKHSAN




KPJ Bandar Maharani Specialist Hospital (KPJ BMSH) telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa pada Khamis, 7 Jun 2018 bertempat di Lobi KPJ Bandar Maharani Specialist. Program sambutan meraikan Ramadan itu dianjurkan bagi meraikan pelajar-pelajar dari Madrasah Tahfiz Al Ikhsan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota pekerja KPJ BMSH.
 

Seramai 42 pelajar terdiri daripada anak-anak yatim dan kurang berkemampuan dari Madrasah Tahfiz Al Ikhsan yang berumur di antara 10 hingga 18 tahun telah diraikan oleh KPJ Bandar Maharani Specialist Hospital dalam majlis itu . Anak-anak tahfiz ini turut menerima duit raya setiap seorang. Sumbangan diperolehi daripada pihak pengurusan atasan, ketua-ketua jabatan dan anggota pekerja KPJ Bandar Maharani Specialist Hospital.
 

Antara pengisian aktiviti termasuklah bacaan Ratib Al-attas yang dipimpin oleh Dr Hj Mohd Azman Mohsin, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor dibantu oleh Ustaz Fadhil Mohamad Amin, guru Pendidikan Islam dari SK Parit Bakar Tengah disusuli Solat Maghrib berjemaah, jamuan makan, majlis penyampaian duit raya dan Sumbangan Amal Ramadan 2018 oleh Mutiara Jcorp kepada golongan kurang berkemampuan, solat Isyak dan Tarawikh berjemaah dan diakhiri dengan moreh. 
 

Program ini diadakan bagi memenuhi hasrat anggota pekerja yang ingin menyalurkan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan bagi mengambil barakah bulan Ramadan.
 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ BMSH; Encik Mohamad Sofian Ismail, Pn Radisah Md Lela, Ketua Mutiara Jcorp KPJ BMSH, dan Tn Hj Hashim Hussain, Pengerusi Madrasah Tahfiz Al Ikhsan.