Event Detail

KPJ Bandar Maharani Terima Kunjungan Dari Madrasah Aliyah 1, Bengkalis Indonesia





MUAR, 10 Mac 2019
 – Seramai 31 orang pelajar bersama lima orang guru pengiring yang diketuai oleh Tn. Hj. Lokman selaku Pengetua Madrasah Aliyah Negeri 1, Bengkalis, Indonesia telah berpeluang mengadakan lawatan sambil belajar ke Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani. Pada 8 Mac 2019 lalu, rombongan yang tiba pada jam 9.30 pagi itu turut disambut baik oleh En. Mohamad Sofian Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani.

Objektif utama program ini adalah bagi memberi inspirasi kepada para pelajar untuk meneroka peluang pekerjaan dalam bidang-bidang lain, terutamanya bidang perubatan, serta memberi ilmu bermanfaat melalui ceramah kerjaya dan kesihatan yang disediakan. Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kesihatan sekaligus mempromosikan industri pelancongan kesihatan (health tourism) yang ditawarkan oleh Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani ke pasaran Indonesia dengan lebih luas. 

Pemeriksaan kesihatan asas secara percuma telah diberikan kepada peserta lawatan, sebelum diteruskan dengan sesi ceramah dan perkongsian kesihatan yang disampaikan oleh Pn. Norsyamilla Md Deris selaku Pakar Pemakanan di hospital ini. Peserta juga turut diberi peluang untuk melihat sendiri dengan lebih jelas beberapa unit perkhidmatan dan fasiliti yang disediakan oleh pihak hospital terutamanya di bahagian perubatan sebelum program berakhir.