Telephone: 06 – 956 4500 Fax: 06-956 4555 Click Here for Address & Maps

Event Detail

Program Berkahatan Perdana 2017




MUar, 2 Disember  2017 - Seramai lebih 29 orang kanak-kanak melangkah ke alam dewasa pada hari ini sempena musim cuti sekolah 2017. Program Berkhatan Perdana 2017 yang kali ketiga diadakan ini adalah anjuran bersama Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar dibawah kepimpinan YB Dato’  Razali Haji Ibrahim selaku Ahli Parlimen Muar merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Muar (MPM), Pejabat Kesihatan Daerah Muar dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani, En. Mohamad Sofian Ismail, Program Berkhatan Perdana 2017 anjuran bersama Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar ini merupakan satu lagi sumbangan tanggungjawab korporat Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani kepada masyarakat setempat di daerah Muar. Objektif penganjuran program berkhatan ini adalah untuk membantu golongan kurang berkemampuan dalam melaksanakan tuntutan Islam.

“Pada hari ini, atas sumbangan tajaan daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar kami telah menerima seramai 29 orang peserta daerah Muar untuk berkhatan. Para peserta juga kelihatan ceria dan bersemangat sepanjang program berlangsung” ujar beliau.

Majlis hari ini akan terpahat dalam sejarah ingatan kanak-kanak berusia antara 7 -12 tahun dengan diarak sepanjang Stadium Sultan Ibrahim Muar sehingga ke Hospital bersama-sama aluan kompang dan diserikan dengan persembahan silat sendeng. Mereka juga diraikan dengan acara bersiram beramai-ramai sebelum majlis berkhatan bermula. Kegembiraan jelas terpancar pada wajah para peserta yang menyertai Program Berkhatan Perdana 2017. Seramai 2 orang pembantu perubatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Muar, seorang dari Pejabat Kesihatan Kluang dan seorang dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah turut membantu didalam menjayakan program ini.

Menurut YB Dato’ Ashari Md Sarip, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Muar yang hadir sebagai wakil rasmi kepada YB Dato’ Razali Haji Ibrahim, kanak-kanak ini bertuah kerana di dalam program ini mereka dapat menikmati pengalaman khatan Kelas Pertama apabila diadakan di Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani. Perasaan gemuruh dan takut dapat dibendung apabila kanak-kanak ini berada didalam keadaan selesa dan kondusif” ujar beliau lagi.

Setiap peserta juga dianugerahkan sijil penyertaan Program Berkhatan Perdana 2017 sebagai salah satu inisiatif untuk memberi semangat agar mereka menjadi berani untuk berkhatan.